KANAK-KANAK tidak mampu menahan pergolakan emosi. Oleh itu, apabila dia marah, kecewa atau putus asa, dia akan meluahkannya dengan menangis, menjerit atau menghentak-hentak kaki. Sebenarnya apa yang dilakukan kanak-kanak itu adalah sebahagian daripada perkembangannya untuk mengawal diri sendiri. Malah, mereka akan bersikap marah-marah (tantrums) ketika berusia antara setahun hingga tiga tahun, tetapi menjelang usia empat tahun, sikap mereka yang suka marah dan meradang akan berhenti dengan sendirinya.
.............................
Menurut Akademi Pediatrik Amerika, kanak-kanak dalam usia setahun hingga tiga tahun sebenarnya sibuk mempelajari pelbagai perkara mengenai dunianya. Dia juga sangat bersemangat untuk mengawal semua perkara. Dia mahu berdikari dan melakukan semua perkara sendiri. Dia juga ingin membuat pilihan sendiri dalam apa juga perkara dan mudah meradang apabila ibu bapa menghalangnya. Sikapnya yang suka marah-marah itu mungkin satu daripada pelajaran yang susah untuk dipelajarinya.
Mengapa kanak-kanak mudah marah dan meradang
Dia keliru kerana tidak memahami sepenuhnya apa yang diminta atau dikatakan ibu bapa. Dia mungkin kecewa orang lain tidak memahami apa yang dikatakannya. Dia mungkin tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan dan keperluannya.
Selepas usianya tiga tahun, kebanyakan kanak-kanak boleh bercakap dengan betul. Ini memudahkannya meluahkan apa yang dirasa. Secara automatik, sikapnya yang suka marah-marah hilang begitu saja. Bagaimanapun, kanak-kanak yang tidak berupaya bertutur dengan baik masih suka meluahkan apa yang dirasanya. Justeru, sikap yang suka marah akan berterusan. Anak anda mungkin belum belajar menyelesaikan masalahnya sendiri dan mudah putus asa. Mungkin dia mengalami kesakitan atau masalah fizikal lain yang menghalangnya meluahkan apa yang dia rasa. Dia mungkin lapar, tetapi tidak mengetahuinya.Dia mungkin letih dan tidak cukup tidur. Dia mungkin rasa gelisah dan tidak selesa. Dia mungkin berasa tertekan dengan perubahan di dalam atau persekitaran rumah. Anak mungkin cemburu dengan adik beradik dan mahu lebih perhatian. Dia mungkin tidak boleh melakukan apa yang dia impikan.
Bagaimana mencegah sikap marah anak?
Anda mungkin terkejut jika anak anda hanya akan bersikap marah-marah di hadapan anda saja. Dia sebenarnya menguji peraturan dan had yang anda gariskan untuknya. Kanak-kanak akan lebih selamat bersikap demikian di hadapan orang yang dipercayainya. Justeru, anda mungkin sukar mencegah sikapnya yang suka marah-marah tidak menentu itu, tetapi ada beberapa cadangan yang dapat membantu anda iaitu: -Galakkan anak menggunakan perkataan untuk memberitahu apa yang dia rasa. -Misalnya, ‘mama, abang marah’ atau ‘ibu, kakak marah’. -Cuba fahami perasaannya dan cadangkan perkataan lain yang menggambarkan perasaannya ketika itu.
Buat peraturan dan had yang munasabah.
Jangan berharap anak kecil akan menjadi sempurna. Beritahu dia mengapa peraturan itu dibuat dan jangan mengubahnya sesuka hati. Pastikan setiap perkara rutin berjalan dengan lancar dan anak akan tahu apa yang dia jangkakan.
-Elak situasi yang boleh mengecewakan anak. -Elak menziarah atau membeli belah dalam masa yang panjang.
Dia mungkin marah kerana tidak boleh melakukan apa yang dia suka misalnya bermain atau membaca buku kesukaannya. Untuk perjalanan jauh, bawa patung atau buku kegemarannya.
Berhati-hati menyebut tidak.
Apabila anak mengatakan tidak untuk semua permintaannya, ia amat mengecewakan. Oleh itu, dengar dengan baik apa yang dia mahu. Jika permintaannya munasabah, tidak salah mengatakan boleh, tetapi jika ia membabitkan keselamatannya, jangan mengatakan boleh hanya untuk mengelak dia marah.
Biar anak membuat pilihan.
Contohnya jika dia malas mandi beritahu dengan jelas mengapa dia perlu mandi. Jika anda biasa bertanya padanya, abang hendak mandi tak? Cuba katakan begini, bangun pagi abang perlu mandi. "Abang hendak berjalan ke bilik mandi atau mama dukung abang?,”
Apa yang perlu anda buat jika anak marah-marah?
Cuba alihkan perhatiannya, misalnya membuat jenaka. Bertenang dan jangan turut sama naik angin. Bila dia marah, anda perlu berdiri berdekatan dengannya atau pegang dia tanpa bercakap sepatah pun hingga dia diam. Kalau anda tidak boleh bertenang, jauhkan diri darinya. Bagaimanapun, kalau anak mula menendang atau menyepak anda, membaling barang, menjerit dan menangis dengan kuat dan berpanjangan, jauhkan dia dari punca kemarahannya. Beri dia masa untuk bertenang. Bagi kanak-kanak yang sudah berusia lebih tiga tahun, dia akan tahu dengan sendirinya untuk bertenang. Kanak-kanak pada usia ini juga mudah diajak berbual dan berbincang mengapa dia tidak boleh menjerit-jerit dan marah dengan cara begitu. Bagi kanak-kanak lebih kecil, tinggalkan dia jika anda tidak boleh bersabar. Dalam tempoh seminit dua, jengoklah semula kerana kadangkala akan tertidur atau berhenti menangis apabila tiada siapa sudi melayannya.
Jangan marah dia kerana dia akan memendam rasa marah dan kecewa dengan tindakan anda.
1 comment:
Oh ini memang perlu dipelajari bila anak dah mula memahami apa yang kita cakap.
Me pun dah train myself supaya kalu me marah azryl bila dia bermain benda berbahaya ..me explain after thta.Me always look into his eyes ..so that he knew the thing yang dia pegang bahaya..
sometimes memang mencabar keimanan but..tak adil jugak kalu kite selalu naik hangin kan?
Sometimes they just want the attention...huhuhu..
Anak oh anak..
Post a Comment